Mayat berulat disangka patung

mayat berulat
PUCHONG – “Mulanya saya sangkakan objek dilihat tergantung di pokok itu adalah patung, tetapi setelah diamati saya terkejut apabila mendapati ia adalah mayat yang sudah berulat,” kata KS Sathasivam, pekerja penyelenggaraan padang kriket Bandar Kinrara, ketika ditemui Sinar Harian, di sini semalam.

Sathasivam berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, dia menemui mayat berkenaan ketika sedang menyelenggara padang permainan milik Persatuan Kriket Malaysia di Bandar Kinrara 5A.

“Ketika hendak membuang sampah di satu kawasan terletak di hujung padang berdekatan gelanggang bermain kriket, saya terlihat satu objek pelik tergantung di atas pokok.

“Mulanya saya ingat ia adalah patung tetapi apabila menghampiri, saya terkejut mendapati ia adalah mayat yang wajahnya sudah dipenuhi ulat,” katanya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada pejabat pengurusan sebelum menghubungi polis.