Kehidupan adalah anugerah utama Illahi. Anugerah kehidupan memberi gambaran kebesaranNya buat kita manusia, yang wajib kita syukuri dan hargai. Internet adalah kemudahan buat umat manusia. Justeru itu, manfaatkan ia untuk kesejahteraan diri kita dan umat sejagat. Sentiasalah kita beringat, apa yang kita lakukan, akan dipertanggungjawabkan di kemudian hari. Gunakan sebaik-baiknya kurniaan Allah swt kepada kita. Halalkan kegunaan akal, hati dan lidah pada perkara yang bakal membawa kecemerlangan diri kita dunia dan akhirat. Kita hidup hanya sekali. Sekali 'pergi' tak kan kembali. Buat baik berpada-pada, dan buat jahat JANGAN sekali-kali. Kewujudan website ApeKeHell dengan blog sebagai wadah untuk meningkatkan nilai diri. Bermatlamatkan penyatuan ummah dengan ciri-ciri kemurnian budi dan budaya. Walaupun, dunia terus maju dengan teknologi, kita akan terus kekal dengan akhlak dan jati diri insani.

 

 

 

 

 

 

Sapa Click Gambar Bawah Ni, Dia Memang Perghh...!

Jahil nye manusia


DOSA SIAPAKAH ATAS KEJAHILAN MANUSIA?Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Apabila tulisan saya ‘Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka’ keluar minggu lepas, maka ada pula yang berkata bahawa manusia sepatutnya dapat berfikir sendiri untuk mencari agama yang sebenar. Ada yang bertanya ‘jika ada bukan muslim yang terlepas dari hukuman Allah disebabkan hujah Islam yang tidak sampai kepada mereka, maka siapakah yang bersalah?’.

Idea bahawa manusia tanpa wahyu Allah pun boleh berfikir sendiri untuk memahami agama dengan melihat kepada kebesaran Allah di alam ini adalah idea aliran muktazilah. Namun idea ini tertolak dengan bukti terbesar Allah mengutuskan para rasul dan mewajibkan dakwah serta pengajaran. Jika manusia boleh berfikir tentang agama sebenar sendirian, maka apa perlunya pengutusan para rasul? Apa perlunya diwajibkan dakwah?

Melihat alam ciptaan Tuhan membolehkan manusia menyimpul tentang kewujudan dan kebesaran Tuhan. Namun, manusia tidak mungkin tahu agama yang sebenar melainkan dengan kedatangan hujah wahyu. Jika Nabi s.a.w sendiri tidak tahu tentang agama yang sebenar sebelum ketibaan wahyu, bagaimana mungkin manusia di timur dan barat, di hutan dan padang pasir, yang bodoh dan cerdik, yang terpelajar dan buta huruf, yang kuat dan yang lemah difardukan memahami sendiri agama yang sebenar tanpa kedatangan hujah Islam kepadanya? Kemudian mereka dihukum Tuhan? Mustahil.
Firman Allah: (maksudnya)
“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh dari sisi Kami (Al-Quran) sedangkan engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah itu iman ; akan tetapi Kami jadikannya (Al-Quran) cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki dalam kalangan hamba-hamba Kami. dan sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk ke jalan yang lurus. (al-Shura 52)
Tiga Golongan
Rabu lepas saya hadir ke dinner rasmi mingguan anjuran OCIS di Bandar Oxford ini. Di sebelah tempat duduk saya penasihat hak asasi manusia bagi Commonwealth Secretariat. Namanya Treva D Braun. Beliau berbicara dengan saya beberapa tajuk terutama tentang kebimbangan beliau terhadap perlaksanaan Islam akan menjejaskan hak asasi wanita. Saya berbincang tentang salahfaham beliau mengenai wanita dalam Islam. Beliau berkata bahawa mungkin apa yang saya kata itu satu tafsiran namun apa yang berlaku sebaliknya. Beberapa isu dibangkitkan oleh beliau. Ada yang betul, ada yang hanya disebabkan persepsi beliau. Nilai yang berbeza. Apapun gambaran Islam yang ada mengelirukan beliau, atau mungkin sengaja memilih sikap yang demikian.

Gambar di Cornmarket Oxfort. Bantahan terhadap Human Trafficking.
Semasa mendengar komentar beliau saya sekali lagi teringatkan soalan ‘siapakah yang bertanggungjawab atas terhalangnya hidayah sampai kepada manusia? Ya, secara umumnya tiga golongan paling bertanggungjawab; pertama, mereka yang menghalang hujah Islam atau ajaran Islam yang sebenar sampai kepada manusia. Kedua, mereka yang memutar belitkan kebenaran sehingga manusia keliru dan terhalang maklumat yang sebenar. Ketiga, mereka yang enggan menyampaikan ajaran yang sebenar.
Penghalang ajaran agama bukan sahaja ada di negara bukan muslim seperti beberapa negara komunis, tetapi juga kadang-kala dalam kalangan umat Islam sendiri. Bukan sedikit para pemerintah dalam dunia Islam yang menghalang ajaran yang sebenar. Bukan setakat hari ini; bahkan sejak zaman Islam di bawah khalifah-khalifah dalam pelbagai dinasti, ramai ulama yang ditahan, diseksa dan dibunuh. Bahkan dalam dunia Islam hari ada yang menggunakan nama ‘penguatkuasaan agama’ untuk menghalang hujah-hujah agama.
Jika di China umpamanya, penyebaran Islam secara terbuka tidak dibenarkan, tapi di Malaysia lebih menarik, artis tiada masalah ketika berdansa di khalayak ramai, tetapi didakwa apabila cuba bertazkirah agama atas alasan tauliah. Jika atas alasan ‘ajaran salah’ boleh difikir dan dinilai. Alasan tauliah semata, tidak jauh dengan alasan negara China. Bahkan berapa ramai mereka yang memiliki PhD dan Master pengajian Islam dari institusi pengajian Islam yang diiktiraf dalam dan luar negara tidak mendapat tauliah di Selangor.
Secara umumnya, apabila manusia benar-benar terhalang sehingga ruang cahaya kebenaran tidak dapat ditembusi, sehingga mereka jahil hakikat kebenaran; samada keseluruhan kebenaran atau sebahagiannya, maka kadar kejahilan manusia itu ditanggung dosanya oleh sesiapa yang menghalang hujah kebenaran untuk sampai kepada manusia.
Ini mengingatkan kita kepada surat Nabi s.a.w kepada Hercules:
“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu.
–kemudian baginda menulis firman Allah- (maksudnya):”Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu; Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam” –Ali ‘Imran: 64. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Disesatkan
Mereka yang menjadi pengikut bawahan terdiri dari dua kelompok; pertama mereka yang benar-benar terhalang cahaya kebenaran. Mereka ini selamat di akhirat Kedua; mereka yang berpeluang mendengar hujah kebenaran tetapi memilih untuk bersama dengan para penentang kebenaran disebabkan kelebihan yang ditawarkan. Mereka tidak selamat. Al-Quran menyebutkan tentang mereka yang menyebabkan orang lain sesat dengan firmanNya: (maksudnya)
“dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan) bersama-sama dengan beban-beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu”. (al-Ankabut: 13)

Karya-karya di Barat pada era ini sering mengaitkan isu keganasan dan Islam. Ini hasil dari lobi media massa di Barat.
Media di Barat sentiasa memberikan gambaran yang negatif tentang Islam. Kaitan Islam dengan militantakan dibahaskan secara langsung dan tidak langsung. Orang awam ramai menjadi begitu prejudis dan phobia dengan Islam. Tujuan mereka amat halus dan jahat. Islam menjadi begitu kabur bagi sebahagian besar masyarakat dunia. Niat buruk media-media ini dikukuhkan lagi dengan berita-berita tindakan orang Islam sendiri.

Salam Jumaat 11.11.11


Tiada apa apa keistimewaan pada tarikh 11.11.11. Aqidah Islam bukan terletak pada nombor. Berhati hatilah dan jangan terpengaruh dengan hal sebegini. Jangan meletakkan sesuatu yang tidak bermakna sehingga merosakkan aqidah,na'uzubillah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...