
PERHIMPUNAN
haram Bersih pada 9 Julai lalu meninggalkan kesan kepada ramai pihak
terutama mereka yang tinggal di ibu kota apabila beberapa jalan utama
ditutup. Para peniaga juga turut menerima kesan kerana tidak dapat
menjalankan perniagaan mereka seperti biasa.
Bagi Akhil Hayy, pengacara Cafe Akhil Hayy dan Cubaan di Astro Oasis
ini, setiap perkara yang berlaku berkaitan dengan politik sukar untuk
dinyatakan kebenarannya. Biarpun begitu, dia mengambil pendekatan
selamat apabila enggan memberikan komen lanjut berkaitan hal politik.
"Sebolehnya saya mahu mengelak daripada memberikan komen berhubung apa
saja yang berkaitan dengan isu politik. Pada saya, Malaysia merupakan
negara demokrasi dan paling penting semua rakyat inginkan keamanan.
"Saya pasti ada caranya untuk mendapatkan keamanan itu. Jadi, saya tidak
boleh berkata salah atau betul tentang tindakan yang dilakukan oleh
seseorang itu untuk mencapai keamanan.
"Mungkin keamanan boleh tercapai apabila kita duduk berbincang
bersama-sama dan menyatakan tuntutan masing-masing. Walau apa pun
berlaku, semua agama mengajar kita untuk mencari perdamaian.
"Tetapi jika ia dilakukan tanpa mengikut syariat Allah, bagaimana kita
mahu mendapatkan keredaan dan pengampunan Allah," ujarnya sambil
bersulam dengan nasihat.