Masyarakat Malaysia secara amnya mengetahui tentang sejarah negeri Melaka biar pun ada yang bukan berasal dari negeri tersebut.
Antara yang paling kerap diperkatakan ialah mengenai Hang Tuah lima bersaudara, Puteri Gunung Ledang dan Puteri hang Li Po semestinya.
Menurut sejarah Melayu negeri Melaka, Puteri Hang Li Po yang berasal dari negara China merupakan isteri yang kelima bagi Sultan Mansur Shah, Sultan Melaka yang telah memerintah dari tahun 1456 hingga tahun 1477.
Diselitkan juga dalam sejarah negeri itu, terdapat cerita legenda pahlawan Melaka yang terdiri daripada lima sahabat iaitu, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.
Kisah lima sahabat yang sarat dengan nilai-nilai persahabatan dan kesetiaan kepada raja dan negeri mereka itu menjadi terkenal dan sering diceritakan semula oleh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun sejarawan terkenal, Prof. Tan Sri Khoo Kay Kim yang ditemu bual oleh sebuah stesen radio tempatan, Business Radio Station (BFM) mendakwa sebaliknya.
Katanya, Hang Li Po dan kelima-lima pahlawan negeri Melaka itu tidak pernah wujud!
Memetik laporan daripada Free Malaysia Today (FMT), Canselor di Kolej KDU itu berkata, beliau telah membaca penulisan dari dua ahli sejarah Barat dan satu rekod sejarah oleh tokoh sejarawan terkemuka, Wang Gung Wu tentang hal ini.
Menurut rekod ahli-ahli sejarah tersebut, Dinasti Ming tidak pernah menyebut atau menulis watak pahlawan-pahlawan Melaka yang terkenal sejak zaman dahulu.