KUALA LUMPUR – Mungkin kerana terlalu
panik setelah melanggar sebuah kereta mewah jenis Volvo XC60, seorang
wanita kemudiannya merempuh dua buah kereta lagi di belakangnya sebelum
bertindak merempuh masuk ke dalam sebuah kedai ‘Superbike’ dan
menghentam empat buah motosikal berkuasa tinggi di Bandar Sri Permaisuri
di sini.
Dalam kejadian pukul 4.30
petang, pemandu wanita dalam lingkungan usia 50-an itu telah
menggerakkan kereta Wira gear automatik miliknya berulang kali ke depan
dan ke belakang sebanyak enam kali hingga melanggar semua kenderaan
terbabit.
Seorang saksi kejadian, Mohd
Nooraimee Othman, 23, berkata, wanita itu pada mulanya mengundurkan
keretanya untuk keluar dari kawasan tempat letak kereta di hadapan kedai
motosikal berkuasa besar berkenaan dan secara tidak sengaja melanggar
Volvo milik adik kepada pemilik kedai ‘Superbike’ berkenaan.
“Mungkin makcik tu panik
sangat.. lepas dia langgar volvo kat belakang..dia reverse dan ke depan
dan belakang lebih kurang lima kali..kali yang kedua dia reverse
(mengundur) itu dia hentam pulak dua buah Myvi yang terletak kat tempat
letak kerata kat belakang dia.
“Kali ke enam dia maju ke depan
dan terus rempuh masuk dalam kedai..masa melompat masuk kedai tu dia
sempat langgar sebuah motosikal Honda VFR 1000..pelanggan punya tu,”
katanya bercerita mengenai kejadian yang mencemaskannya itu.
Menurut Mohd Noraimee yang
merupakan pekerja kedai Superbike tersebut, wanita itu turut melanggar
tiga buah motosikal berkuasa tinggi jenis Suzuki GSX 1000cc, Honda CBR
1000cc dan BMW 1400cc yang berada di dalam kedai berkenaan.
Seorang lagi saksi, Sarah
Zamzuri, 30, pekerja RHB Bank yang terletak bersebelahan kedai superbike
itu berkata, dia terkejut dengan bunyi dentuman kuat membuatkannya
berlari keluar dari pejabat untuk melihat punca bunyi berkenaan.
Sarah berkata, dia bingung
sebentar apabila melihatkan kereta yang dipandu oleh wanita terbabit
berulang kali bergerak ke depan dan ke belakang dengan laju.
Melihat kejadian itu, Sarah
berkata, dia terus berlari mengalihkan kereta Avanza miliknya sebelum
sempat dilanggar oleh wanita berkenaan.
“Saya panik tengok mak cik tu
laju aje reverse dan pecut ke depan, saya terus lari ke kereta saya
untuk alihkan kenderaan saya. Memang Tuhan sahaja yang tahu macam mana
saya menggigil berlari ke kereta.
“Waktu saya alihkan kereta saya, wanita itu masih lagi menggerakkan keretanya dengan laju,”terang Sarah.
Adik kepada pemilik kedai
Superbike yang enggan dikenali itu mendakwa, abangnya mungkin terpaksa
menanggung kerugian mencecah setengah juta ringgit akibat insiden
tersebut.
Sementara itu, ketika
mendapatkan kenyataan dari suami wanita tersebut, lelaki itu hanya
banyak berdiam dan turut terkejut dengan kejadian yang berlaku.
Lelaki berkenaan tidak percaya
kemalangan yang berlaku itu berpunca daripada isterinya yang
ditinggalkan sekejap sewaktu dia keluar untuk membeli barangan.
Orang ramai yang turut berada di
tempat kejadian sempat menjerit ke arah wanita berkenaan supaya
menghentikan enjin keretanya supaya dia tidak terus menggerakkan
kenderaannya.
Wanita berkenaan juga kelihatan masih bingung.