PUCHONG – “Mulanya saya sangkakan objek dilihat tergantung di pokok itu
adalah patung, tetapi setelah diamati saya terkejut apabila mendapati
ia adalah mayat yang sudah berulat,” kata KS Sathasivam, pekerja
penyelenggaraan padang kriket Bandar Kinrara, ketika ditemui Sinar
Harian, di sini semalam.
Sathasivam berkata, dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, dia menemui
mayat berkenaan ketika sedang menyelenggara padang permainan milik
Persatuan Kriket Malaysia di Bandar Kinrara 5A.
“Ketika hendak membuang sampah di satu kawasan terletak di hujung
padang berdekatan gelanggang bermain kriket, saya terlihat satu objek
pelik tergantung di atas pokok.
“Mulanya saya ingat ia adalah patung tetapi apabila menghampiri, saya
terkejut mendapati ia adalah mayat yang wajahnya sudah dipenuhi ulat,”
katanya yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada pejabat pengurusan
sebelum menghubungi polis.