KUALA LIPIS - Berikutan tidak mampu mengawal nafsu serakah, seorang
lelaki sanggup menceroboh rumah seorang gadis sunti di Kampung
Gemunchor, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Lebih menyayat hati, suspek bersama dua rakan sanggup mengikat ibu gadis
terbabit sebelum mengheret mangsa yang berusia 17 tahun ke dalam bilik
air lalu merogolnya.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, sebelum
kejadian berlaku, suspek bersama dua rakannya dipercayai pergi ke rumah
mangsa dengan menaiki sebuah kereta.
“Suspek dan dua rakannya menaiki sebuah kereta dan berhenti di hadapan
rumah mangsa sebelum memecah masuk melalui pintu belakang yang tidak
berkunci.
“Suspek kemudiannya mengikat ibu mangsa di bahagian dapur sebelum
mengheret mangsa yang ketika itu berada di rumah tamu ke bilik air untuk
merogolnya,” katanya, di sini, semalam.
Abdul Razak berkata, selepas merogol mangsa, suspek bertindak merampas
gelang tangan emas milik ibu mangsa sebelum melarikan diri.
“Namun dalam keadaan tergesa-gesa, gelang tangan itu terjatuh di
pekarangan rumah mangsa. Mangsa kemudiannya bertindak berlari ke rumah
kakaknya yang terletak kira-kira 500 meter untuk meminta pertolongan,”
katanya.
Abdul Razak berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis
Daerah Lipis untuk membuat laporan polis sebelum dihantar ke hospital
bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Berdasarkan siasatan awal daripada mangsa dan ibunya, polis percaya
suspek mengenali keluarga terbabit. Ibu mangsa juga dipercayai dapat
mengecam suspek berdasarkan bentuk tubuhnya.
“Polis giat mengesan suspek yang dipercayai tinggal berhampiran dengan rumah mangsa,” katanya.
Manakala, mangsa pula menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad
Shah, Temerloh, akibat cedera selepas bergelut dengan suspek.
Acu parang
Sementara itu, nenek mangsa yang mahu dikenali sebagai Wan ketika
ditemui Sinar Harian memberitahu, dia turut berada dalam sebuah bilik di
rumah sama ketika kajadian itu berlaku.
Wan berkata, anaknya berada di dapur, sementara cucunya pula sedang
mengemas pakaian dalam bilik tidur kerana mahu kembali ke asrama
sekolahnya, semalam.
Kemudian dia dikejutkan dengan kekecohan di ruang dapur sebelum mendengar anak dan cucunya meminta tolong.
"Saya keluar dari bilik selepas mendengar suasana kecoh di dapur sebelum
melihat dua lelaki sedang mengacukan golok ke leher anak saya.
Kemudian, saya nampak seorang lagi lelaki mengheret cucu keluar dari
bilik dan dibawa ke bilik air," katanya.
Menurutnya, akibat ketakutan, dia masuk ke dalam bilik sebelum menolak katil ke pintu untuk menghalang penjenayah masuk.
"Penjenayah itu menendang pintu bilik, tapi tak dapat membukanya. Ketika
itu, saya masih dengar jeritan anak dan cucu meminta tolong. Saya hanya
mampu menangis sambil berdoa supaya keluarga tidak diapa-apakan
penjenayah itu," katanya.
Mangsa pengsan
Wan berkata, lebih kurang 15 minit kemudian, keadaan kembali tenang
apabila semua penjenayah melarikan diri. Menurutnya, dia memberanikan
diri keluar dari bilik untuk melihat anak dan cucunya.
"Ketika keluar, saya dapati anak saya sedang menangis, manakala cucu
sudah tiada dalam rumah kerana keluar meminta bantuan kakaknya yang
tinggal berhampiran," katanya.
Manakala, kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya berlari
dalam keadaan separuh bogel ke rumahnya untuk meminta pertolongan.
"Saya mendengar jeritan adik meminta tolong dan memberitahu dia bersama
ibu jadi mangsa rompakan. Namun saya terkejut apabila melihat dia dalam
keadaan separuh bogel dan memberikan sehelai kain batik untuk dipakai
sebelum dia pengsan di rumah saya," katanya.
Sinar Harian difahamkan seorang daripada suspek adalah bekas banduan
berusia dalam lingkungan 50-an yang pernah menjalani hukuman penjara
atas kesalahan rogol. Lelaki itu dikatakan sudah mengamati pergerakan
mangsa ketika bertemu di sebuah kenduri beberapa hari sebelum kejadian .
Suber: Sinar Harian