SIFAT berwawasan jauh sering dikaitkan
dengan Maha Sinnathamby, migran dari Malaysia yang kini mencipta nama
sebagai antara ahli perniagaan paling kaya dan berjaya di Australia.
Perkara ini tidak menghairankan jika
diimbas kembali kejayaan beliau mengubah kawasan hutan tebal seluas
2,860 hektar 23 kilometer di barat Brisbanne, Queensland, yang tidak
dipeduli sesiapa hingga menjadi sebuah Bandar raya penuh terancang
paling besar milik persendirian di negara ini, yang lengkap dengan
kemudahan pendidikan dan kesihatan bertaraf dunia.
Dalam tempoh dua dekad, kawasan
pembangunan berkenaan yang dikenali sebagai Greater Springfield,
melahirkan enam kawasan subbandar yang mempunyai 23,000 penduduk.
Kira-kira A$9.6 bilion (RM31 bilion)
dibelanjakan untuk membangunkan projek ini — A$3.5 bilion (RM11.3
bilion) oleh Springfield Land Corporation dan beberapa pihak lain, A$2.5
bilion (RM8.07 bilion) oleh Kerajaan Negeri Queensland dan A$3.6 bilion
(RM11.62 bilion) oleh kerajaan tempatan.