Ketika saya menulis rencana ini (pada Hari Sabtu) saya
sedang berada di Osnabruck, Jerman. Pada Hari Jumaat semalam saya
memberikan ceramah ringkas di sebuah masjid di sini yang diberi nama
Masjid Ibrahim. Kebanyakan ahli jemaahnya merupakan orang Arab.
Saya berucap dalam bahasa arab mengenai isu semasa umat
Islam sekarang khususnya Palestin. Imamnya yang berasal dari Syria
berkhutbah dengan berani dan bersemangat tentang isu Gaza. Bahkan beliau
berkempen agar ahli jamaahnya menyertai demonstrasi aman membantah
kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Saya melihat satu keperluan apa yang beliau kempenkan,
sebab di Berlin telah dibuat demonstrasi besar menyokong tindakan
Israel. Malanglah jika ada masjid di Malaysia yang tidak berani mengutuk
Israel. Hari ini (Ahad) saya bercadang hendak ke Berlin untuk berjumpa
dengan beberapa pihak.
Ini adalah kali pertama saya sampai ke
Jerman. Semasa kecil apa yang saya tahu mengenai Jerman iaitu tenteranya
di pihak yang jahat berperang melawan hero-hero Amerika. Ini semua
adalah pengaruh filem ‘Combat’ semasa zaman tersebut.
Oleh kerana Amerika yang menerbitkan siri ‘Combat’ tersebut, maka
digambarkan merekalah di pihak yang benar dan Jerman di pihak yang
jahat. Alasan kejahatan tidak diketahui melainkan kerana hero yang
ditabalkan berada di pihak tentera Amerika.
Demikianlah cara sesebuah filem mempengaruhi minda manusia, terutama
kanak-kanak. Apabila masuk ke sekolah menengah serta terdedah kepada
bahan bacaan yang berbagai, nama Adolf Hitler dan puak ‘Nazi’nya agak
sinonim dengan Jerman di lintasan minda setiap kali perkataan Jerman itu
disebut. Selain itu, tidak banyak maklumat tambahan tentang Jerman yang
saya baca.
Sebelum saya sampai ke Jerman, seminggu lepas saya menghabiskan buku
yang ditulis oleh Seymour Rossel yang bertajuk The Holocaust. Sebagai
Yahudi, beliau memang membela Yahudi dan mengutuk Hitler habis-habisan.
Beliau mengutip maklumat daripada Encyclopedia Judia mendakwa bahawa
Nazi telah membunuh sebanyak 5,820,960 Yahudi terutama Yahudi Poland dan
Rusia.
Saya tidak pasti sejauh manakah benar angka tersebut. Tapi yang pasti
memang Hitler ialah seorang diktator yang sangat kejam. Membunuh dengan
zalimnya bukan sahaja Yahudi, tetapi juga sesiapa sahaja yang
menentangnya. Cara pembunuhannya juga begitu sistematik bagaikan kilang
perusahaan yang teratur. Kekejaman itu tidak dapat diterima oleh sesiapa
pun. Di Jerman sehingga hari ini kekejaman itu dikutuk oleh rakyat
negaranya.