PENDAHULUAN
Manusia adalah makhluk Allah S.W.T yang paling istimewa dan sempurna, jika dibandingkan dengan makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain. Ini jelas sebagaimana yang terdapat dalam Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. ” Surah at-Tin:ayat 4
Disebabkan itu, manusia mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tertentu yang perlu dilaksanakan di dalam memenuhi matlamat penciptaan mereka itu. Peranan dan tanggungjawab manusia ini meliputi tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan terhadap:

- Allah S.W.T
- Diri Sendiri
- Keluarga
- Masyarakat
- Negara
- Alam
PENGERTIAN UMUM TENTANG TANGGUNGJAWAB
Tanggungjawab amat sukar untuk ditakrifkan. Ia mengandungi dua dalam satu, iaitu seseorang yang dikatakan bertanggungjawab ialah dinilai dari segi hubungannya dengan pekerjaan dan hubungan dengan orang yang mengawal pekerjaan tersebut.
Daripada sudut pekerjaan, istilah”tanggungjawab”adalah sebalik apa yang dianggap tidak menunjukkan permulaan hubungan yang berlaku, akan tetapi menunjukkan kebenaran apa yang ditetapkannya, dan kita hendaklah mendahuluinya dalam tindak-tanduk kita yang tertentu.
Pada hakikatnya, tanggungjawab ialah satu persediaan yang sedia ada pada tiap-tiap individu, yang bererti setiap individu dengan sendirinya memestikan dirinya untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan terhadap dirinya mengikut lumrah sebagai langkah pertama, kemudian ia mempunyai keupayaan pula untuk menjalankan tanggungjawab dengan menggunakan usaha dan tenaga yang ada pada dirinya.
Dengan pengertian ini, tanggungjawab mempunyai makna yang sangat luas sebagai suatu jenis tanggungjawab yang paling tinggi dalam diri manusia itu sendiri.
Kalau kita membuat kajian tentang sesuatu perkara mengikut kebiasaannya, termasuklah fizikal manusia, maka kita akan dapati setiap sesuatu yang berlaku adalah mengikut keadaan semulajadinya, masing-masing menunaikan kewajipan mengikut kemampuannya, mengikut satu aliran, sama ada untuk membuat perubahan atau untuk memperbaikinya. Dengan ini bererti tidak ada kewajipan secara mutlak.
Manakala dalam peraturan moral( Nizam akhlaqi) berlainan sekali, kerana seseorang itu akan berdepan dengan berbagai kemudahan yang boleh dipilih yang menjadi kegemarannya sama ada untuk menghormati peraturan awam atau sebaliknya.
Oleh itu sifat yang menjadikan seseorang itu bertanggungjawab atau tidaknya ialah “Boleh=imkan” dan “Penting=dharurah”. Kedua-dua ini memainkan peranannya untuk menjadikan seseorang itu bertanggungjawab dan yang menjadi peranan utama ialah “Boleh”yang memang sudah ada persediaannya pada diri manusia. Dengan ini, jelaslah kedudukan makhluk Allah yang berakal dari aspek kebolehan dan persediaannya untuk berakhlak. Dalam perkara ini Allah menerangkan dalam Al-Qur`an: “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh. ”*
Ini mengakibatkan suatu balasan ke atas manusia kalau mengingkari dan tidak mentaati perintah Allah.
Walaubagaimanapun adalah suatu perkara mustahil bagi kita untuk menentukan tanggungjawab kita secara bebas. Bagi menjaga supaya tindak-tanduk dan kemahuan kita mengikut jalan yang lurus, mampu menentukan tanggungjawab, maka hendaklah sekurang-kurangnya perkara yang hendak di lakukan itu adalah suatu perkara yang baik mengikut syarak.
Sayyidah Aishah( r. a) meriwayatkan Rasullah( S.A.W) bersabda: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka taatilah Dia, dan sesiapa bernazar untuk berbuat dosa, maka jangan berbuat demikian. ”*
Demikian juga dengan tanggungjawab yang wajib kita tunaikan terhadap orang lain yang seharusnya mestilah bebas dari pengaruh kehendak diri sendiri.
SYARAT-SYARAT TANGGUNGJAWAB AKHLAK DAN AGAMA
1) Dari Aspek Peribadi:
Perlu disebutkan di sini bahawa tanggungjawab akhlak dan agama berbentuk keperibadian yang tulen. Banyak ayat al-Qur`an yang menyebut tentang perkara ini, tetapi dalam huraian yang pendek ini akan hanya disebut beberapa ayat yang jelas lafaznya dan maknanya yang ada hubungan rapat dengan tajuk ini.
Ayat-ayat tersebut antara lainnya, Firman Allah:
“Ia mendapat pahala dari kebajikannya dan mendapat balasan siksa dari perbuatan kejahatannya.”*
“Siapa yang mengerjakan dosa, maka ia adalah untuk dirinya sendirinya. ”*
“Suatu hari pembalasan tiap-tiap orang apa yang dilakukan dan apa yang diamalkan, tidak ada kezaliman berlaku pada hari tersebut. ”*
“Sesungguhnya seseorang manusia tiada memperolehi selain daripada usahanya”*
Kesimpulan yang dapat diambil dari keterangan-keterangan ayat diatas menunjukkan bahawa pahala dan dosa tidak boleh diubah dan dipinda atau ditokok tambah ataupun dikurangkan, dicampur-aduk dan ditukar ganti biarpun diantara ibubapa dan anak-anak.
2) Asas Undang-Undang.
Syarat kedua bagi tanggungjawab ialah asas undang-undang. Dalam hal ini al-Qur’an menjelaskan kepada kita bahawa seseorang itu tidak akan dihitung amalannya jika ia tidak mengetahui terlebih dahulu hukuman amalan tersebut. Pengenalan ini dapat dikesan melalui dua perkara, iaitu luaran dan dalaman. Prinsip undang-undang akhlak pada keseluruhannya berbentuk menyeluruh dan tertera dalam jiwa dengan suatu rupa. Untuk mengetahui maksudnya hendaklah digunakan seluruh kekuatan dan tenaga diri disamping menggunakan akal dan hati, atau mengikut apa jua keinginan yang terpuji.
Oleh kerana cara semulajadi memang dapat dilakukan oleh semua orang mengikut kadar kebolehan masing-masing, maka dengan itu pengenalan tersebut sudah cukup untuk menentukan tanggungjawab kita terhadap diri kita sendiri.
Ahli Sunnah berpendapat bahawa kita tidak bertanggunjawab walaupun dengan kewajipan asasi sehinggalah kita mengandungi kewajipan tersebut dengan cara yang tertentu dan benar-benar tahu. Ini didasarkan kepada Firman Allah:
“Allah tidak akan menyebabkan kesesatan sesuatu kaum, selepas ia memberikan petunjuk-Nya kepada mereka, sehingga ia menjelaskan bagaimana taqwa mereka. *
Adalah berfaedah kita membincangkan tentang sebab-sebab al-Qur’an meletakkan syarat-syarat yang tertentu itu, dan kenapakah Allah mewajibkan secara mutlak supaya hamba mengetahui tanggungjawab diri mereka dengan perantaraan Rasul yang menjadi perantaraan antara Allah dan hamba?Kenapakah Allah tidak membiarkan mereka mengetahui tanggungjawab diri mereka berdasarkan kepada cahaya semulajadi?
Jawapan kepada soalan-soalan ini adalah sebagaimana tertera dalam al-Qur’an:
“Supaya tidak dijadikan alasan oleh manusia terhadap Allah selepas perutusan rasul-rasul. ”*
3) Dari Aspek Keluhuran Hati Dalam Pekerjaan
Walaubagaimanapun selain dari mempunyai hubungan dengan syariat agama maka kita mempunyai hubungan yang lain di bidang pekerjaan, dan hubungan yang pertama iaitu hukum syariat yang bercorak pengetahuan, maka hubungan yang kedua pula iaitu dengan pekerjaan bercorak kemahuan. Seluruh hati nurani seseorang individu yang berakhlak akan mengandungi kedua-dua hubungan itu serentak.
Pekerjaan yang dilakukan secara tidak dengan kemahuan sendiri jika ditilik dari aspek kemanusiaan boleh dikatakan sebagai suatu insiden. Walaupun mereka menyebutnya dengan istilah yang digunakan sebagai suatu pekerjaan. Ini jelas kerana apabila kita mempraktikkan tafsiran ayat al-Qur’an, tidak mungkin setengah daripada yang kita perolehi itu adalah perbuatan diri kita sendiri dan ini berdasarkan ayat yang berbunyi: “Manusia mempunyai apa yang ia usahakan, dan menanggung juga apa yang ia lakukan.”*
Oleh itu, kerja yang dilakukan secara niat yang baik dan tidak berada dalam keadaan tertentu dalam pekerjaan yang dilakukan secara tidak bermaksud itu bersalahan dari pandangan umum. Keadaan yang tertentu ini selain perbezaan dari segi darjah diantaranya dengan pekerjaan yang tidak dikehendaki, yang tidak harus dibetulkan sesuatu tentang sifatnya yang memang benar, dikira tidak bertanggungjawab.
PERANAN DAN TANGGGUNGJAWAB MANUSIA TERHADAP ALLAH S.W.T
Pada dasarnya tanggungjawab manusia yang utama terhadap Allah S.W.T ialah melaksanakan ibadah dengan mengabdikan diri secara tulus ikhlas kepada-Nya. Peranan dan tanggungjawab ini terkandung didalam Firman Allah S.W.T: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku. ”*
Justeru itu semua Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T adalah mempunyai risalah yang sama, iaitu menyampaikan seruan agar seluruh manusia mengabdikan diri hanya kepada Allah S.W.T dan menjauhi thaghut. Allah S.W.T telah berfirman: “Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada setiap umat itu seorang rasul supaya mereka( menyerukan):Sembahlah Allah dan jauhilah thaghut. ”*
Didalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Mu’az bin Jabal r. a katanya:saya mengekori Nabi s.a.w. yang sedang menunggang seekor keldai. Tiba-tiba baginda bertanya kepada saya:”Wahai Mu’az, adakah engkau tahu hak Allah ke atas hamba-Nya?”. Saya menjawab:”Allah dan Rasulnya lebih mengetahui”. Baginda bersabda:”Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka wajib mengabdikan diri mereka kepada-Nya dan tidak menyengutukan sesuatu apapun dengan-Nya. ”
Beribadah kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan di dalam Firman Allah S.W.T. di atas tidaklah terbatas kepada apa yang lazim difahami oleh masyarakat umum, iaitu hanya terbatas kepada solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain ibadat khusus sahaja. Sesungguhnya ibadah yang dikehendaki adalah lebih luas dari itu, mencakupi kepatuhan kepada setiap perkara yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Ibadah atau pengabdian diri kepada Allah S.W.T. mempunyai beberapa takrifan. Menurut bahasa, perkataan ibadah berasal dari bahasa Arab. Dari segi bahasa ia bermaksud patuh, taat, setia, tunduk, dan mendambakan diri kepada sesuatu.
Al-Maududi menyatakan ibadah bermaksud pengabdian hati yang digambarkan melalui perlaksanaan atau amalan. Ibn Taimiah berpendapat ibadah merangkumi perasaan hina diri dan cinta kepada Allah S.W.T. yang melahirkan ketaatan kepada-Nya.
Skop ibadah dalam Islam adalah cukup luas, merangkumi segenap aspek kehidupan, malah semua amalan yang dilakukan sama ada amalan anggota, perkataan dan hati akan dikira ibadah selama ai menepati syarat-syarat yang ditentukan.
Ulama Islam telah membahagikan ibadah kepada dua, iaitu ibadah umum dan ibadah khusus. Ibadah khusus yang juga dikenali sebagai ibadah yang formal adalah ibadah yang mana struktur, system dan peraturan-peraturannya telah ditentukan oleh syariat Islam secara lengkap dan terperinci. Bentuk dan cara perlaksanaannya tidak boleh direka-reka atau dilakukan mengikut kehendak sendiri, malah ia mestilah menepati syarat-syarat sahnya sesuatu ibadah itu. Umpamanya ibadat solat, puasa, zakat dan haji yang mempunyai syarat-syarat sahnya dan perkara-perkara yang membatalkannya yang tersendiri.
1) IBADAH SOLAT
Perkataan solat berasal dari bahasa Arab yang bererti doa dan pujian. Dari segi istilah pula solat bermakna menghadapkan jiwa kepada Allah S.W.T. dalam keadaan taqwa yang menimbulkan rasa keagungan-Nya, dengan penuh khusyuk dan ikhlas dalam beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan di akhiri dengan salam.
Kewajipan solat adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu diwajibkan ke atas sekalian orang-orang yang beriman untuk melakukannya dalam waktu-waktu yang tertentu. ”*
Antara kesan dari perlaksanaan ibadah solat yang sempurna ialah:-
a) Solat dapat mencegah seseorang dari melakukan sesuatu amalan yang Keji dan mungkar. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari kekejian dan kemungkaran. ”*
b) Solat dapat membersihkan seorang muslim dari segi zahir dan batin. Dari Segi zahirnya melalui penyucian diri dari hadath kecil dan besar, tempat dan pakaian serta wudhu. Dari segi batinnya pula ialah dengan pembersihan hati dari sesuatu yang lain dari Allah dengan penuh khusyuk dan ikhlas.
c) Ibadat solat juga dapat mendidik seorang muslim tentang pengurusan masa dan perlunya menepati waktu dalam semua perkara. Sewajarnya umat Islam mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya sesuai dengan Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud: “Rebutlah lima peluang sebelum datang lima perkara, masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum papa, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati. ”
d) Ibadat solat berjamaah pula akan dapat melatih umat Islam supaya taat kepada pemimpin (imam), manakala pemimipin pula wajib mengambil berat terhadap rakyatnya (makmum). Disamping solat berjamaah juga dapat membentuk perpaduan, kasih-sayang, ukhuwwah dan persamaan sesama mereka. Ia juga akan dapat menghapuskan rasa hasad dengki, dendam dan permusuhan di kalangan umat Islam.
2) IBADAH PUASA
Puasa dari segi bahasa ialah menahan diri dari sesuatu. Dari segi istilah ia bererti menahan diri dari sesuatu yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari dengan syarat-syarat tertentu. Ibadat puasa ini diwajibkan kepada semua orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas uamat yang terdahulu sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa. ”*
Ibadah ini mempunyai kesan yang besar di dalam kehidupan seorang muslim, jika ia dilaksanakan dengan sempurna dengan menjaga adab-adabnya antaranya ialah:
a) Menundukkan nafsu jahat dan dapat memelihara diri dari kejahatan syaitan. Keinginan hawa nafsu dan tuntutan jasmani yang melampau akan dapat dihindarkan.
b) Akhlak mulia akan terbentuk dengan berpuasa, sifat-sifat mahmudah seperti sabar, ikhlas, menepati waktu, pemurah, memelihara lidah dari amalan yang keji akan menjadi perhiasan diri mereka.
c) Melahirkan sifat taqwa dengan memperbanyakkan amalan tilawatul Qur’an berdoa dan ibadah-ibadah sunat yang lain.
d) Jasamani akan menjadi sihat, di samping menguatkan rohani.
e) Melahirkan sifat kasihan belas, tolong-menolong dan sanggup menghadapi cabaran hidup.
3) IBADAH ZAKAT
Zakat dari segi bahasa bermakna subur, bersih dan berkembang. Menurut istilah syarak pula zakat bermaksud kadar yang harta tertentu yang wajib dikeluarkan kepada golongan yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu. Kewajipan zakat adalah jelas dari Firman Allah yang bermaksud: “Ambillah zakat sebahagian dari harta mereka, dengan zakat itu dapat mensuci dan membersihkan mereka. ”*
Kesan yang boleh didapati dari perlaksanaan amalan zakat ini ialah:
a) Membersihkan jiwa dari terlalu mencintai harta dan sifat tamak haloba dan kedekut.
b) Memberi jaminan social terhadap masyarakat kerana dengan itu harta benda akan diagih dengan seimbang kepada semua golongan dalam masyarakat.
c) Menguatkan kedudukan politik dan ekonomi negara di samping dapat merapatkan hubungan antara orang-orang kaya dan miskin.
4) IBADAT HAJI
Dari segi bahasa haji bererti pergi atau menuju. Dari segi istilah pula ia bermaksud mengunjungi Baitullah dengan niat untuk mengerjakan ibadah kepada Allah dengan rukun-rukun dan syarat-syarat yang tertentu dan dikerjakan pada masa yang tertentu.
Antara kesanyang boleh didapati dari perlaksanaan ibadah haji yang sempurna ialah: a) memperteguhkan keimanan dan keyakinan terhadap Allah S.W.T. di samping mewujudkan rasa keagungan dan kebesaran Allah S.W.T. terutama melalui ucapan talbiah.
b) Ia juga adalah perhimpunan tahunan umat Islam di seluruh dunia yang akan mewujudkan rasa perpaduan, persamaan dan ukhuwwah sesama mereka.
c) membentuk disiplin yang tinggi melalui tegahan dan larangan ketika berihram yang merupakan sati cabaran kepada fizikal dan spiritual manusia.
d) Iktibar dari sejarah juga boleh didapati oleh orang-orang yang melaksanakan ibadah haji di mana mereka berada di tempat awal kewujudan Islam di samping memenuhi perintah Allah seperti mana yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a. s. dan putera baginda, Nabi Ismail a. s.
Kesemua ibadah-ibadah khusus yang menjadi rukun Islam ini perlulah dilaksanakan sebagai memenuhi tanggungjawab mereka terhadap Allah S.W.T. Di samping itu juga terdapat banyak lagi ibadah-ibadah khusus yang perlu dilakukan untuk memperlengkapkan lagi tuntutan terhadap dua kalimah syhadah yang dilafazkan seperti membaca AL-Qur’an, ibadat-ibadat sunat yang lain yang kesemuanya akan menambahkan keimanan kepada Allah S.W.T.
Selain dari ibadah khusus yang dibincangakan dengan agak terperinci terdapat pula ibadah umumyang merupakan pengabdian diri secara tidak langsung kepada Allah S.W.T. melalui urusan kehidupan dunia yang menyangkut hubungan sesama manusia dan makhluk-makhluk Allah S.W.T. yang lain yang berlandaskan akidah dari syariat Islam.
Pendeknya semua amalan yang dilakukan adalah ibadah asalkan ia menepati syarat-syarat yang ditentukan antaranya:
1. Pekerjaan atau perbuatan itu mestilah diniatkan ikhlas kerana Allah S.W.T. semata-mata. Perbuatan yang dilakukan kerana riya’ atau mempunyai muslihat yang tertentu tidaklah dikira sebagai ibadah.
2. Amalan yang dilakukan juga mestilah tidak bertentangan dengan syariat Islam. Oleh itu kerja-kerja yang haram seperti menjual arak, menguruskan kedai-kedai judi atau kelab-kelab malam adalh dilarang dalam Islam.
3. Pekerjaan atau amalan yang dilakukan itu tidak menghalang seseoarang dari melaksanakan tanggungjawab asasi sebagai seorang muslim seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.
4. Amalan yang dilakukan juga mestilah dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T. suka jika seseorang itu berkerja, maka ia bekerja dengan tekun( memperelokkan kerjanya).
PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB TERHADAP DIRI
Adalah menjadi tanggungjawab ke atas setiap individu terhadap dirinya sendiri untuk melakukan penyucian dan pengislahan ke arah yang lebih baik, demi untuk kesejahteraan hidup mereka di dunia dan akhirat. Di antara cara-cara yang perlu dilakukan ialah menuntut ilmu dan memelihara hak-hak diri.
Ilmu adalah suatu alat yang penting untuk menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T. Tanpa ilmu seseorang itu tidak akan dapat membezakan antara yang hak dan batil, baik dan buruk dan yang mesti diberi penekanan dalam Islam meliputi ilmu-ilmu fardhu ain dan juga ilmu fardhu kifayah.
Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang berkaitan dengan Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Ianya perlu didalami untuk memastikan kesempurnaan hubungan antara hamba dengan pencipta-Nya melalui ibadah-ibadah yang khusus.
Disamping mempelajari ilmu-ilmu fardhu ain, umat Islam juga dikehendaki tidak meninggalkan ilmu-ilmu fardhu kifayah yang berhubung dengan kehidupan seharian seperti ilmu yang berkaitan dengan politik, ekonomi. social dan sebagainya. Kedua-dua ilmu ini adalah penting dalam usaha untuk meraih kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh al-Qur’an yang menganjurkan supaya kita berdoa dan berusaha ke arah kesejahteraan hidup, dunia dan akhirat. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, kurniakan kami kebaikan di dunia dan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”*
Memelihara hak diri dari segi agama adalah meliputi penjagaan diri dari terjebak ke lembah syirik, melakukan amalan khurafat dan maksiat. Allah S.W.T. telah berfirman tentang keburukan amalan syirik dan menegaskan tentang dosa syirik yang tidak mungkin diampunkan sebagaimana Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Sesungguhnya syirik merupakan satu dosa yang besar. ”*
Setiap manusia perlulah juga menjaga dirinya dari perkara-perkara yang mengancam keselamatan jiwanya serta jiwa orang lain dengan menjauhi dari amalan membunuh diri dan orang lain. Perbuatan membunuh adalah dosa yang juga besar yang selalu dihubungkan dengan dosa syirik. Rasullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Dosa yang paling besar ialah menduakan Allah( syirik) dan membunuh manusia.
Walaubagaimanapun Islam mengharuskan hukum membunuh jika ada sebab-sebab yang tertentu seperti hukuman qisas(bunuh balas) Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh niwa yang diharamkan Allah(membunuhnya) melainkan dengan sesuatu(sebab) yang benar. ”*
Manusia adalah makhluk Allah yang dicipta dengan sebaik-baik kejadian. Oleh kerana itu mereka perlulah memelihara maruah mereka agar tidak terjerumus ke lambah yang hina seperti melakukan kekejian, hinaan, umpatan dan celaan kepada orang lain serta menjauhkan diri dari kekejian zina dan menuduh orang lain dengan tuduhan zina. Allah S.W.T. telah berfirman dalam hal kekejian zina ini di dalam al-Qur’an yang bermaksud:”Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. ”*
Diantara keistimewaan manusia yang dilantik oleh Allah S.W.T. sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini ialh disebabkan manusia mempunyai akal fikiran. Dengan akal dan ilmu manusia dapat membezakan yang mana baik dan buruk, justeru itu menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk menjaga kewarasan akal fikiran mereka dengan tidak meminum minumam keras dan menagih dadah. Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya(meminum) khamar, berjudi. (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungannya. ”*
Islam tidak melarang umatnya mencari sebanyak mungkin harta, tetapi mestilah dengan cara yang halal, tidak menipu, rasuah, melakukan riba, mencuri, merompak dan sebagainya. Larangan-larangan di atas adalah demi memelihara kesucian harta seseorang. Pemeliharaan di atas juga meliputi kewajipan amalan zakat harta dan fitrah, juga membelanjakan harta ke jalan Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu membelanjakan pada jalan Allah dan janganlah kamu mencampakkan diri ke dalam kebinasaan”*
TANGGUNGJAWAB TERHADAP KELUARGA
Sebuah keluarga biasanya terdiri daripada ibubapa, suami, isteri dan anak. Keharmonian dan kesejahteraan keluarga hanya akan terbina apabila mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing kepada mereka yang berhak. Adalah menjadi tanggungjawab semua anggota keluarga untuk memastikan mereka terpelihara daripada azab api neraka. Allah S.W.T. berfirman dalam surah al-Tahrim ayat 6: “Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. ”
1)Tanggungjawab Ibubapa Terhadap Anak-anak.
Tanggungjawab ibubapa yang paling utama terhadap anak-anak ialah untuk memastikan agar mereka beriman kepada Allah S.W.T. dan tidak sekali-kali mensyirikkan-Nya dengan sesuatu. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai anakku, janganlah sekali-kali engkau mempersekutukan Allah. Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu suatu penganiyaan yang besar. ”*
Ibubapa juga mestilah melatih anak-anak mereka mengerjakan solat bermula dari umur mereka 7 tahun. Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Ajarlah anak kamu melakukan solat bila berusia tujuh tahun dan pukullah jika ia tidak solat bila berumur sepuluh tahun. ”
Akhlak yang mulia seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. perlulah disemai ke dalam jiwa anak-anak mereka dengan mereka sendiri beramal dengan akhlak Islam di dalam cara hidup mereka seharian.
Ibubapa juga mestilah memberikan didikan dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka, agar mereka dapat membesar dengan sempurna dan mampu menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ibubapa juga perlu berlaku adil di dalam segala urusan dengan anak-anaknya.
Hak anak yang tidak boleh diabaikan ialah hak untuk hidup dan layanan yang sama di dalam kehidupannya, hak untuk mempunyai bapa yang sah dan hak untuk di beri pendidikan dan jagaan yang baik.
2)Tanggungjawab Anak Kepada Ibubapa.
Setiap anak mempunyai tanggungjawab yang besar kepada ibubapa mereka. Ayat 36 dari surah al-Nisa menjelaskan tentang kewajipan berbuat baik kepada kedua ibubapa: “Dan hendaklah kamu menyembah Allah, dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu dan hendaklah kamu juga berbuat baik kepada ibubapa. ”
Berbakti kepada ibubapa bukanlah hanya ketika mereka hidup sahaja, bahkan ia meliputi ketika mereka berdua sudahpun meninggal dunia. Antara cara berbakti kepada ibubapa ketika hayat mereka ialah dengan mentaati mereka selama mana ia tidak bertentangan dengan perintah Allah, bekorban harta dengan mereka, bersikap lemah lembut dengan mereka. Sememtara itu, cara berbakti kepada ibubapa sesudah mereka meninggal ialah berdoa untuk kebahagiaan ruh mereka, menghubungkan silaturrahim dengan sahabat taulan mereka, menunaikan janji-janji mereka dan sebagainya.
Memberi nasihat yang ikhlas dengan berhikmah apabila ibubapa melakukan kesalahan. Tidak meminta-minta dari ibubapanya apa yang tidak dipunyai dan tidak termampu olehnya. Membantu di dalam kerja-kerja rumah tanpa perlu disuruh.
3)Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri.
Seorang suami berkewajipan untuk mengawal isterinya dengan baik dan berlaku adil terhadapnya kerana isteri adalah amanah Allah S.W.T. ke atas para suami.
Suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah perbelanjaan kepada isteri meliputi makanan, pakaian dan tempat tinggal menurut tahap kemampuan mereka. Suami mestilah memberi didikan yang sempurna kepada isteri terutama dalam hal-hal fardhu ain. Suami tidak harus menghalang isteri yang ingin pergi belajar di masjid. Suami juga tidak dibenarkan untuk meminta isterinya bekerja mencari wang. Suami perlu menegur sikap isteri jika bertentangan dengan Islam.
4)Tanggungjawab Isteri Kepada Suami.
Isteri pula bertanggungjawab untuk taat kepada suaminya dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Kesucian diri mereka perlulah dipelihara di setiap masa sebagai bukti ketaatan dan kesetiaan mereka yang tidak berbelah bagi kepada suami mereka.
Apabila suami pulang, isteri hendaklah berhias diri dan menyambut kepulangannya dengan manis muka. Tidak bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya tanpa izin suaminya. Tidak membenarkan orang yang tidak disukai suaminya masuk ke rumah tanpa keizinannya terlebih dahulu. Isteri juga hendaklah sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati suaminya.
TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT
Manusia tidak boleh hidup bersendirian tanpa wujudnya anggota masyarakat yang lain. Rasullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri. ”
1)Tolong-menolong.
Seorang muslim tidak dibenarkan membiarkan saudaranya sesama muslim bekerja sendiri untuk kepentingan social, ia dituntut untuk menolongnya semampu dia boleh buat. Kecuali apabila perbuatan itu perbuatan dosa dan maksiat maka tidak boleh menolongnya.
2)Hormat-menghormati.
Semua muslim diperintahkan untuk menghormati saudara seagamanya dan bahkan menghormati saudara bukan seagama. Dihormati peribadinya, dengan tidak menghina atau mencelanya dalam bentuk bagaimanapun, menghormati hartanya dengan tidak diganggu, dan menghormati darahnya, tidak dititiskan setitispun darahnya.
3)Cinta-mencintai.
Setiap muslim diperintahkan untuk mencintai saudaranya sesama muslim dengan cinta semata-mata kerana Allah. bukan kerana harta, jabatan, kedudukandan lain-lain. Rasulullah bersabda:
“Tidak sempurna iman salah seorang kamu kecuali mencintai saudaranya sesama muslim sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri. ”*
4)Kasih-mengasihi.
Disamping cinta mencintai, umat Islam di perintahkan untuk mengasihi kepada saudaranya sesama muslim. Kasih lebih dalam dan tinggi nilainya daripada cinta. Dalam bahasa Arab, kasih diterjemahkan dari kata “Rahmah” dan cinta dari kata “Mahabbah. ”Oleh itu, umat Islam pengikut Nabi Muhammad dikatakan Allah dalam al-Qur’an sebagai umat yang keras terhadap orang-orang kafir(tentu sahaja bila mereka diganggu) dan kasih mengasihi dengan sesamanya. (Al-Qur’an, surah Al-Fath:30).
TANGGUNGJAWAB TERHADAP NEGARA
Sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap anggotanya mempertahankan negara dari segala ancaman sama ada dari musuh-musuh luar ataupun musuh-musuh yang sedia ada dalam negara seperti fitnah-memfitnah, hasut-menghasut, penindasan terhadap golongan miskin, pengabaian terhadap anak-anak yatim dan kezaliman dari orang-orang yang jahat. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan menyebarkan kebaikan, dermawan terhadap kerabat, mencegah dari melakukan kekejian, kemungkaran dan penindasan. Ia mengajar kamu supaya sentiasa beringat-ingat. ”*
Didalam menjalankan peraturan dan hukum-hakam, mereka hendaklah merujuk kepada hukum Allah S.W.T. Sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat:44, Allah melarang dari mengingkari hukum-Nya: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir. ”
TANGGUNGJAWAB TERHADAP ALAM
Alam adalah anugerah dari Allah S.W.T. kepada manusia supaya ia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna, sebagai khalifah Allah S.W.T. Justeru itu manusia perlulah memelihara alam dan mengendalikan dengan baik. Misalnya dalam melaksanakan hubungannya dengan binatang, manusia dilarang dari membunuh dan menyiksanya sesuka hati. Jika binatang itu perlu dibunuh, maka bunuhlah dengan baik dan tidak menyiksanya terlebih dahulu. Tanggungjawab terhadap tumbuhan pula ialah tidak menebangnya dengan sesuka hati. Jika tidak akan berlaku kemusnahan alam seperti pertukaran cuaca yang mendadak, banjir, tanah runtuh dan lain-lain lagi.
Menjadi tanggungjawab kepada manusia menjaga kesejahteraan alam ini dari pencemaran udara, bunyi, alam sekitar dan lain-lain. Ia bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia untuk meneruskan kehidupan mereka dan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, setiap manusia mempunyai tanggungjawab yang tertentu yang mesti ditunaikan untuk memperolehi kedamaian hidup, dunia dan akhirat. Walau di mana mereka berada dan di zaman manapun mereka hidup, mereka tidak boleh lari dari tanggungjawab tersebut, sama ada mereka adalah hamba kepada Allah S.W.T. atau sebagai pengatur kepada diri sendiri, ibubapa, isteri, suami, anak, anggota masyarakat, rakyat kepada sesebuah negara ataupun paling tidak adalah sebagai hamba Allah S.W.T. yang kerdil di muka bumi ini.

0 comments:
Post a Comment