
KUALA LUMPUR, 29 DIS 2011: Tahun 2011 nyata merupakan tahun yang amat positif buat penggiat filem tempatan apabila dilihat daripada segi kutipan tiket yang diterima untuk filem yang ditayangkan.
Hampir 42 filem tempatan telah ditayangkan sepanjang tahun ini
bermula dari Januari sehingga Disember dan daripada jumlah tersebut,
enam daripadanya mencatat kutipan yang amat memberangsangkan apabila
memperoleh keuntungan lebih daripada RM5 juta.
Skop Production Sdn Bhd dilihat antara pendominasi utama carta pecah
panggung untuk tahun ini apabila dua filemnya, KL Gangster dan Khurafat
telah menyumbangkan keuntungan hampir RM20 juta kepada syarikat hak
milik Datuk Yusof Haslam itu.
Tidak kurang hebatnya ialah filem-filem terbitan Metrowealth (MIG),
syarikat produksi milik David Teoh seperti Kongsi , Bini-Biniku Gangster
serta Alamak Toyol turut menghuni carta kutipan tertinggi.
Tumpuan juga harus diberikan kepada pencapaian filem Ombak Rindu
arahan Osman Ali yang kini dikatakan telah mencapai kutipan sehingga
RM10 juta dan masih ditayangkan. Adakah Ombak Rindu akan berjaya
mengatasi kutipan tertinggi yang kini dipegang filem KL Gangster?
Sama-sama kita nantikan dan sementara itu, kita lihat dulu senarai 10 filem tempatan yang berjaya dengan kutipan tertinggi.
1) KL Gangster (RM11.74 juta)
Filem arahan Syamsul Yusof yang ketika ini memegang rekod sebagai
filem melayu dengan kutipan tertinggi dalam sejarah. Filem lakonan Aaron
Aziz dan Adi Putra berkisar permusuhan dunia samseng di Kuala Lumpur
ini telah mencatat kutipan RM11.74 juta dan Syamsul Yusof sendiri telah
diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik untuk arahannya dalam filem ini dalam
FFM24. Kejayaan KL Gangster membuktikan filem aksi kini mula mendapat
perhatian peminat filem tempatan yang masa satu ketika dahulu dipenuhi
genre seram.
2) Ombak Rindu (RM11.2 juta dan masih ditayangkan)
Masih ditayangkan ketika ini namun pencapaiannya mencatat kutipan
RM10 juta setelah dua minggu ditayangkan adalah satu pencapaian yang
luar biasa hebatnya. Filem arahan Osman Ali yang diadaptasi daripada
novel dengan tajuk yang sama hasil nukilan Fauziah Ashari. Menceritakan
tentang kehidupan seorang gadis bernama Izzah yang yatim piatu yang
kemudiannya jatuh cinta dengan seorang lelaki kaya bernama Hariz. Juga
merupakan genre baru yang menarik minat filem tempatan ke panggung
setelah sebelum ini dikuasai genre seram.
3) Hantu Bonceng (RM8.53 juta)
Filem komedi seram nampaknya masih lagi mempunyai daya tarikan kuat
untuk penonton ke pawagam. Hantu Bonceng diarahkan oleh Ahmad Idham,
satu nama yang tidak dapat dipisahkan dengan kutipan box-office. Elemen
komedi, aksi dan seram memang tidak dapat dipisahkan dengan pengarah ini
dan sekali lagi dia menyuntik elemen tersebut ke dalam Hantu Bonceng.
Zizan Raja Lawak dan Juliana Evans digandingkan di layar perak untuk
filem yang berkisar mat rempit diganggu hantu wanita yang pernah
kemalangan bersamanya. Pastinya Ahmad Idham sudah pastinya tersenyum
dengan kutipan lebih RM8 juta untuk filem tersebut.
4) Kongsi (RM8.09 juta)
Shaheizy Sam, itulah nama utama yang menjadi penyebab untuk menarik
penonton ke panggung ketika ini. Bintang paling popular itu dilihat
sebagai elemen utama untuk Kongsi arahan Farid Kamil mencatat kutipan
RM8.09 juta. Kongsi berkisarkan seorang pembunuh upahan dari Thailand
yang memegang misi untuk membunuh setiap ketua kongsi gelap di Malaysia
dan tidak dinafikan filem yang mempunyai wajah Shaheizy berpeluang cerah
untuk berjaya mencatat kutipan box-office.
5) Khurafat (RM8.08 juta)
Khurafat merupakan filem kedua paling berjaya arahan Syamsul Yusof
untuk tahun 2011 ini. Ditayangkan seawal bulan Januari dan mencatatkan
kutipan lebih RM8 juta. Lantas penggiat filem dan pihak media melihat ia
sebagai penanda aras kepada satu perkembangan positif. Dilakonkan oleh
Syamsul sendiri bersama Liyana Jasmay, keunikan jalan ceritanya serta
imej seram yang begitu efektif menjadi penarik utama penonton ke
panggung.
6) Hikayat Merong Mahawangsa (RM6.5 juta)
Filem Terbaik untuk Festival Filem Malaysia ke 24. Filem epik sejarah
yang berkisar tentang Merong Mahawangsa yang membentuk kerajaan utama
Langkasuka ini diterbitkan KRU Studio dan diarahkan Yusry Abdul Halim.
Walaupun berjaya mencatat kutipan RM6.5 juta, ramai yang mengganggap
filem ini sepatutnya mencatat kutipan jauh lebih baik dan setimpal
dengan bajetnya yang besar. Setiap elemen sama ada daripada segi kostum,
prop dan efek kesan khas sememangnya mengkagumkan malah boleh dikatakan
setanding dengan kualiti antarabangsa.
7) Nur Kasih The Movie (RM4.93 juta)
Asalnya sebuah drama bersiri TV, namun populariti yang tinggi
menyebabkan Nur Kasih diadaptasi ke dalam bentuk filem pula. Hebatnya
kisah cinta Adam dan Nur Amina yang menjadi ikutan buat peminat telah
membolehkan Nur Kasih The Movie arahan Kabir Bhatia mencatat keuntungan
RM4.93. Lebih penting, nama Tiz Zaqyah, Remy Ishak dan Fizz Fairuz kini
telah menjadi nama besar dalam industri hiburan di atas kejayaan siri
Nur Kasih tersebut.
8) Bini-Biniku Gangster (RM4.71 juta)
Gandingan Shaheizy Sam, Intan Ladyana dan Yana Samsudin dalam Adnan
Sempit sememangnya dilihat ada chemistry dan mungkin atas dasar itulah
mereka bertiga digandingkan sekali lagi dalam filem Bini-Biniku
Gangster. Hasilnya, filem arahan Ismail Bob Hashim ini berjaya mengutip
RM4.71 juta dan siapa sangka, filem yang menceritakan kisah seorang
lelaki beristeri dua, namun tidak mengetahui yang kedua-dua isterinya
itu adalah ketua gangster untuk kumpulan masing-masing adalah hasil
garapan skrip oleh Yana Samsudin sendiri.
9) Karak (RM4.28 juta)
Merupakan percubaan pertama KRU Studio menerbitkan filem bergenre
seram dan buat pertama kalinya, juara Akademi Fantasia 8, Shahir muncul
di layar perak. Inisiatif Yusry Abdul Halim untuk menterjemahkan kisah
urban legend di lebuhraya Karak seharusnya dipuji dan tidak lengkap
sesebuah filem KRU itu jika tanpa efek kesan khas yang hebat. Karak
berjaya mengutip RM4.28 juta dan genre seram dilihat masih merupakan
pilihan utama untuk penonton ke panggung.
10) Alamak Toyol
Alamak Toyol diarahkan Ismail Bob Hashim dan dilakonkan oleh Along
dan Angah dari Raja Lawak. Baru saja ditayangkan November lalu dan
kutipannya dilihat memberangsangkan dengan keuntungan mencecah RM3.74
juta. Kisah dua orang perompak yang melatih toyol belaan mereka mencuri
ini sarat dengan komedi ringan dan sepertimana juga genre seram, genre
komedi masih merupakan elemen utama penonton di Malaysia.
Kredit tanpa prejudis untuk Murai
0 comments:
Post a Comment