Baitul-Muqaddis-bumi para anbiya’. Bumi ini telah menjadi saksi
ketekunan dan keteguhan para mursalin dalam mendidik manusia mengenal
hakikat Tauhid dan ajaran Islam. Bermula dengan penguasaan zuriat Nabi
Ishak yakni Bani Israel, kemudiannya Raja Nebuchadnezzar dari Babylon,
disusuli pula oleh pemerintahan Empayar Rom dan Byzantium, bumi anbiya’
ini telah menjadi rebutan pelbagai kuasa besar zaman terdahulu.
Akhirnya, pada tahun 638 Masihi, kekejaman dan ketidakadilan
pemerintahan asing di bumi Baitul-Muqaddis ini telah ditamatkan oleh
Khalifah Islam yang kedua, Umar Al-Khattab. Beliau bersama bala tentera
kaum mukminin telah disambut oleh penduduk Baitul-Muqaddis sebagai
pembela keadilan dan tentera pembebasan.
Sebagai seorang Khalifah yang amat rendah diri dan sederhana, Khalifah Umar bersetuju dan memasuki kota suci ini secara berjalan kaki sahaja tanpa ada sebarang pertumpahan darah. Suatu simbol Islam sebuah agama yang mencintai kedamaian dan keselamatan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama.
Pembebasan Baitul-Muqaddis ini membuka satu era baru dalam lipatan
sejarah Islam. Setelah sekian lama, kiblat pertama umat Islam ini
dikotori dengan pelbagai pengamalan syirik dan kecurangan kepada Allah,
kini ia milik umat Islam semula dalam mengembalikan kegemilangannya
sebagai kota ketiga paling suci dalam Islam.
Setelah memeterai perjanjian damai dengan penduduk Baitul-Muqaddis,
Khalifah Umar terus bergerak menuju Haram Asy-Syarif, suatu kawasan
seluas 35 ekar dan mendapatinya dipenuhi sampah-sarap.Beliau lantas
menggunakan jubahnya untuk mengutip sampah-sarap tersebut dan perbuatan
Umar ini diikuti oleh semua kaum muslimin sehinggalah seluruh kawasan
Haram Asy-Syarif dibersihkan selayaknya sebagai tempat suci umat Islam.
Di tengah-tengah kawasan ini, tersergam batu di mana berpijaknya Nabi
Junjungan sebelum ke langit dalam perjalanan Isra’ dan Mi’raj baginda.
Di sudut paling selatan kawasan Haram Asy-Syarif ini, maka dibinalah
sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Kubah Kuning (Dome of the
rock ). Ia juga dikenali sebagai Masjid Umar merupakan sebuah masjid
kayu yang mampu memuatkan 3,000 pengunjung.
Namun demikian, suasana kegemilangan Islam di Baitul-Muqaddis
berakhir pada kurun ke-11 apabila Pope Urban II mengisytiharkan Perang
Salib yang pertama. Tindakan ini adalah sebagai reaksi terhadap polisi
menghalang penziarah-penziarah Kristian memasuki Baitul-Muqaddis oleh
pemerintah Islam Seljuk pada masa itu. Gerombolan Kristian Eropah ini
bermusafir selama 3 tahun menuju Kota Suci Baitul-Muqaddis dan akhirnya
mereka tiba di pintu gerbang kota suci ini pada tanggal 7 Jun 1099.
Setelah 5 minggu mengepung Baitul-Muqaddis, tentera Salib akhirnya
berjaya menawan Baitul-Muqaddis dan tanpa belas kasihan membunuh seramai
40,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak kota suci ini.Pemerintahan
tentera Salib tidak membawa kedamaian kepada penduduk kota suci ini.
Kekejaman dan ketidakadilan menjadi lumrah di Baitul-Muqaddis sepanjang
pemerintahan mereka baik kepada umat Islam mahupun penduduk bukan Islam.
Pada tahun 1187 Masihi (setelah 88 tahun dijajah tentera Salib)
Panglima Sallahuddin Al-Ayyubi telah berjaya menakluk semula kota suci
Islam ini dan sekali lagi Islam membuktikan ia bukan agama keganasan.
Pembukaan kedua kota Baitul-Muqaddis ini tidak dicemari oleh sebarang
pembunuhan rakyat biasa dan pilihan diberikan kepada penduduk kota ini,
khususnya yang bukan Islam, samada ingin berhijrah ataupun terus menetap
di Baitul-Muqaddis di bawah pemerintahan Islam dengan jaminan
pemeliharaan nyawa, harta dan tempat ibadat mereka.
Namun begitu, , pada tahun 1948 umat Yahudi telah berjaya menubuhkan
negara haram Israel dengan bantuan kuasa-kuasa Barat dan sejak itu bumi
anbiya’ ini tidak pernah kenal erti keamanan. Sejak dari itu keangkuhan
rejim Yahudi semakin menjadi-jadi.
Pada tahun 1967, tentera Yahudi laknatullah telah berjaya mencerobohi
Baitul Muqaddis Timur dan telah meratakan Maghribi Quarter. 2 masjid
dan 135 rumah rakyat Palestin telah diruntuhkan meninggalkan 650 orang
rakyat Palestin tanpa rumah kediaman.Seterusnya pada tahun 1969 seorang
pelawat Yahudi Australia telah bertindak membakar Masjid Al-Aqsa yang
memusnahkan mihrab yang dibina oleh Sallahuddin Al-Ayyubi . Tidak cukup
dengan itu malah dengan bongkaknya Perdana Menteri Ariel Sharon memasuki
kawasan Al-Quds pada tahun 2000 . Tindakan ini telah membakar api
kemarahan umat Islam. seluruh dunia.
Disini jelas terbukti bahawa setiap kali bumi anbiya’ ini dipimpin
oleh mereka yang teguh keimanannya kepada Allah, keamanan dan kedamaian
pasti dikecapi oleh semua. Sesungguhnya Islam adalah agama yang membawa
kepada keamanan dan kedamaian sejagat.Kesucian masjid suci ini harus
dipelihara. Oleh itu umat Islam harus bangkit mempertahankan Masjid
Al-Aqsa dan maruah saudara-saudara seagama mereka dalam apa jua cara
yang terdaya. Jangan dibiarkan maruah Islam dihina dan direndahkan.
0 comments:
Post a Comment